Dua kapal tangki Saudi disabotaj di luar pantai UAE
RIYADH - Dua kapal tangki minyak mentah milik Arab Saudi adalah antara empat kapal yang disabotaj di luar pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) pagi semalam di tengah-tengah konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang sedang meningkat.
Riyadh memaklumkan kejadian serangan itu telah menyebabkan kerosakan ketara pada kapal tangki itu yang mana salah satu daripadanya dalam perjalanan mengangkut minyak di Saudi untuk dibawa ke AS.
Menteri Tenaga Saudi, Khalid al-Falih mengesahkan insiden itu bagaimanapun ia tidak meragut nyawa atau menyebabkan tumpahan minyak.
"Perbuatan jenayah ini adalah ancaman serius terhadap keselamatan navigasi maritim dan memberi kesan buruk kepada keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa," kata sumber Kementerian Luar.
Susulan kejadian itu, Iran telah menggesa siasatan dilancarkan ke atas serangan yang membimbangkan itu dan turut memberi amaran kepada tindakan pihak asing yang cuba untuk mengganggu keselamatan maritim.
Britain dalam satu kenyataan memberi amaran tentang bahaya konflik yang berlaku secara tidak sengaja di Teluk selepas AS kini memperhebatkan ketenteraan mereka termasuk mengerahkan pesawat pengebom B-52 ke rantau itu kononnya sebagai respons terhadap ancaman Iran.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash berkata, mereka akan menyiasat kejadian sabotaj tersebut.
"Siasatan itu akan dijalankan secara profesional dan fakta yang jelas serta kita mempunyai kesimpulan kita sendiri," jelasnya menerusi Twitter.
Pelabuhan Fujairah adalah terminal tunggal UAE yang terletak di pantai Laut Arab merentasi Selat Hormuz yang menjadi laluan kebanyakan eksport minyak Teluk. Teheran telah berulang kali mengancam untuk menutup selat tersebut di bawah konfrontasi tentera dengan AS. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!