'Saya mohon maaf' - Azizulhasni

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

KONTINJEN Malaysia menerima perkhabaran duka menjelang pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2022 di China Sabtu ini apabila jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri.

Perkara ini diumumkan sendiri Azizulhasni dalam satu sidang akhbar khas yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Rabu.

Azizulhasni berkata, keputusan itu dibuat selepas kecederaan yang dialaminya susulan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, masih belum pulih sepenuhnya.

“Dukacita dimaklumkan saya mengambil keputusan untuk menarik diri. Saya mohon maaf kepada kontinjen negara dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap saya beraksi di Hangzhou.

“Pada mulanya kecederaan saya tidak serius termasuk selepas menjalani ujian imbasan. Tetapi selepas melakukan ujian ultrasound, ada menunjukkan soft tissue damage.

“Dua hari pertama (selepas insiden kemalangan), memang agak sakit. Masuk hari ketiga, keempat dan kelima, kesakitan itu masih dirasai terutama pada bahagian pinggul sebelah kiri.

“Jadi selepas perbincangan dengan ketua jurulatih, John Beasley, kami memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Asia kali ini bagi memberi fokus kepada Sukan Olimpik Paris tahun depan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Azizulhasni mengejutkan peminat sukan tempatan apabila berkongsi rakaman video kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai.

Artikel Berkaitan:

Rakaman video berdurasi 36 saat itu menunjukkan dia terjatuh ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal dihadapannya selepas basikalnya mengalami kegagalan mekanikal.

“Jika ikutkan sayalah orang paling sedih dan kecewa apabila tidak dapat beraksi pada Sukan Asia kali ini. Saya memang berharap untuk beraksi pada Sukan Asia di Hangzhou.

“Tetapi demi mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Olimpik di Paris tahun depan, saya rasa ini adalah keputusan yang terbaik buat diri saya,” jelas Azizulhasni.

Mengikut perancangan awal, Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman akan beraksi dalam dua acara - keirin dan pecut individu di Hangzhou.

Untuk rekod, Azizulhasni menyambar satu pingat emas dalam acara pecut individu selain turut meraih satu perak (pecut berpasukan) dan satu gangsa (keirin) pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pada Sukan Asia Guangzhou 2010, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 35 tahun itu berjaya menyambar pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!