Caprice perjelas penubuhan Munafik Hunter
RATUSAN aduan yang diterima melalui mesej peribadi (direct message) di Instagram menjadi titik tolak penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Munafik Hunter oleh penyanyi rap dan aktivitis, Caprice.
Menurut Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, kes individu seperti Mondy dan banyak lagi kes gangguan seksual melibatkan individu berpengaruh membuatkan dia tergerak untuk tampil dengan Munafik Hunter.
Bahkan selepas mengumumkan penubuhan Munafik Hunter, Caprice telah menerima banyak aduan menerusi mesej tentang kes rogol, gangguan seksual dan banyak lagi.
"Bila cakap mengenai gangguan seksual, paling susah adalah mencari dan mendapatkan bukti. Jadi saya berharap dengan penubuhan ini, kita boleh bantu mangsa dapatkan bukti dan seterusnya serah bukti pada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
"Saya juga terima banyak permohonan untuk menjadi sukarelawan dan saya akan senarai pendek siapa yang bersesuaian untuk bersama Munafik Hunter," jelasnya.
Ditanya mengenai tuduhan warga maya yang mengatakan Caprice cuba membuat kerja Tuhan, lelaki berusia 35 tahun itu menafikannya.
"Saya bukan cuba untuk membuat kerja Tuhan, sebaliknya cuba membela nasib mangsa-mangsa gangguan seksual termasuk kes melibatkan kanak-kanak.
"Di Malaysia ada banyak kes gangguan seksual melibatkan individu yang kita tidak jangka perbuatan mereka seperti guru, ustaz, ayah tiri.
"Tidak ramai orang yang berani lawan dan alang-alang sudah ke depan, saya cuba untuk membela nasib mangsa," katanya yang mengakui pemilihan nama Munafik Hunter di buat atas faktor pemasaran dan bagi menimbulkan rasa gerun pada yang melihat atau mendengar.
Bakal timang anak kedua
Sementara itu, Caprice sempat berkongsi berita gembira apabila bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
Jelas Caprice, 35, isterinya iaitu Farra Inalis kini hamil lima bulan.
“Sebelum ini ramai yang tanya, bila nak ada anak, tetapi disebabkan kepadatan jadual dan komitmen kepada perniagaan serta lain-lain hasrat tersebut saya ketepikan dahulu.
“Memandangkan semua sudah ada di sini, saya nak kongsi berita gembira. Alhamdulillah isteri saya kini hamil lima bulan,” ujarnya ketika memberikan ucapan di majlis pelantikannya sebagai Duta ThorX, di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, pada petang Rabu.
Sekadar info, Caprice dan Farra, 28, mendirikan rumah tangga pada November 2021. Sebelum ini Farra pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang anak perempuan bernama Aleesya Sofea.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!