'Ulang kali lihat video tular untuk pastikan itu abang Faris' - Adik
PUTRAJAYA - Adik bongsu mangsa kemalangan rempuhan treler di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, dekat sini berulang kali melihat video tular bagi memastikan itu abangnya.
Faiz Azim Abu Bakar berkata, dia melihat video tular kemalangan itu beberapa kali bagi memastikan mangsa adalah abangnya, Faris Haziq, 25.
Katanya, baju yang dipakai adalah sama seperti yang sering dipakai oleh abangnya semasa pergi ke tempat kerja di Subang Jaya, Selangor.
"Saya tengok yang kena langgar itu macam abang.
"Motosikal juga sama seperti motosikal yang abang guna," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Hospital Putrajaya bersama ahli keluarga dan sahabat abangnya daripada Pos Malaysia.
Faiz Azim berkata, Allahyarham adalah anak kedua daripada tiga orang adik-beradik dan masih bujang.
Menurutnya, arwah seorang abang yang tegas di rumah, namun ceria dan disukai oleh ramai kawannya.
"Kami sekeluarga sangat terkejut dengan pemergian abang, setelah emak mendapat panggilan daripada polis menyatakan abang meninggal dunia akibat kemalangan.
"Meskipun sangat sedih dengan kejadian ini, tetapi kami semua meredai pemergian abang tersayang," ujarnya menahan sebak.
Faiz Azim berkata, pemergian Faris Haziq merupakan satu ujian buat seluruh ahli keluarga kerana kakak sulung akan melangsungkan perkahwinan pada hujung Oktober ini.
Allahyarham Faris Haziq antara dua penunggang motosikal yang disahkan maut, manakala tujuh individu lain cedera apabila sebuah treler merempuh 13 kenderaan di Persiaran Utara di sini.
Kejadian kira-kira jam 10.14 pagi itu berlaku apabila kesemua kenderaan terlibat berhenti untuk memberi laluan kepada latihan konvoi Le Tour de Langkawi (LTDL) di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!