Wanita gagal seludup dadah hampir RM1 juta dalam tin biskut

Hasil pemeriksaan ke atas bagasi wanita berkenaan, JKDM menemui kira-kira 211 kapsul yang mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah. - Foto 123rf
Hasil pemeriksaan ke atas bagasi wanita berkenaan, JKDM menemui kira-kira 211 kapsul yang mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah. - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup masuk kokain seberat 4.6 kilogram (kg) bernilai RM918,000 yang disembunyikan dalam tin biskut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Khamis lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, dadah tersebut ditemukan dalam tiga tin biskut aluminium yang disorok dalam bagasi milik seorang wanita berusia 41 tahun, yang baru tiba di negara ini dari Ethiopia.

Beliau berkata, bahan terlarang itu dikesan semasa proses pengimbasan ke atas sebuah bagasi milik wanita berkenaan.

"Mesin pengimbas bagasi mengesan objek dan imej kehijauan yang mencurigakan dalam bagasi milik wanita itu.

"Hasil pemeriksaan rapi menemukan kira-kira 211 kapsul yang mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah. Ia disorok dalam tin biskut bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, wanita terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pun Sian berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, rampasan itu berjaya membanteras pengedaran dadah terbabit kepada hampir 23,000 penagih. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!