Ketagih makan luar: Tidak perlu jolok sarang tebuan - KJ
SHAH ALAM - Tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyentuh isu tabiat ketagihan rakyat makan di luar sehingga menjejaskan pendapatan bulanan mereka itu tidak sepatutnya dilakukan kerana perbuatan itu umpama menjolok ke sarang tebuan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, apa yang rakyat mahu tahu adalah pelan tindakan dari kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi dan kenaikan harga barang pada ketika ini.
“Bagi saya, ya mereka (kerajaan) perlu kurangkan analisa, lebihkan tindakan. Sudah tentu, orang akan kata, kena analisa, kena tunjuk apa sebab dan masalah-masalah struktur yang menyebabkan orang keluar makan dan sebagainya tetapi perkara ini emotif.
“Orang tengah susah dan harga barang tengah naik. Jadi tidak perlu kita menjolok sarang tebuan.
“Sarang tebuan itu (maknanya) cerita orang makan dan sebagainya, ini soalan yang sangat peribadi sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Pada Isnin, Rafizi memaklumkan bahawa tabiat ketagih untuk makan di luar membuatkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat di negara ini dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.
Dalam pada itu, ujar Khairy Jamaluddin, seseorang menteri itu tidak perlu mendedahkan proses pemikiran mereka jika tidak ada solusi untuk sesuatu isu.
“Rakyat nak tengok ada pelan mitigasi atau pelan tindakan (untuk isu itu), mereka tidak mahu tengok kita tengah analisa atau proses pemikiran kita semua itu.
“Saya tahu perkara ini sebab saya pernah jadi Menteri Kesihatan masa pandemik Covid-19, jadi saya tak mahu sangat analisa sebelum kita umumkan sesuatu tindakan sama ada nak tamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau memperkenalkan strategi lain untuk tangani wabak ini.
“Dalam hal ini walaupun saya simpati kepada Rafizi sebagai seorang sahabat tetapi perkara itu adil dari segi iklim politik pada ketika ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!