Sentiasa peka dengan amaran cuaca

Kita perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia. - Gambar hiasan
Kita perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan mahu berpesan kepada semua supaya berhati-hati kerana sekarang sudah tiba musim banjir.

Raub dan Alor Gajah antara lokasi awal menerima musibah banjir ini akibat hujan lebat sehingga penduduk terjejas terpaksa dipindahkan.

Di Alor Gajah, seramai 32 penduduk dari tiga kampung di Durian Tunggal terpaksa dipindahkan, manakala 28 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan akibat banjir kilat di sekitar bandar Raub.

Merak Jalanan nak ingatkan Fasa Peralihan Monsun yang bermula pada Selasa lalu dan berterusan sehingga November akan membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir.

Sekarang kalau hujan lebat dalam tempoh dua jam pun boleh menyebabkan banjir kilat berlaku, ini bahaya terutama jika terjadi di kawasan bandar.

Selasa lalu, hujan lebat berserta angin kencang di beberapa lokasi di Lembah Klang menyebabkan 14 kenderaan di kawasan Kepong terjejas akibat dihempap pokok tumbang.

Kita perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia kerana ini boleh jadi petanda awal untuk kita bersedia segala kemungkinan.

Merak Jalanan pernah menjadikan amaran cuaca di media sosial MetMalaysia sebagai panduan pada Mac tahun lalu ketika ibu negara mengalami banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu Merak Jalanan berada di sekitar kawasan Pudu dan setelah mendapat amaran cuaca, Merak Jalanan terus batalkan urusan petang tersebut dan keluar sebelum jalan ditutup akibat dinaiki air.

Akibat peka dengan amaran hujan lebat itu, Merak Jalanan terselamat kerana pada petang itu, Pudu antara kawasan terjejas teruk selain Kuchai Lama dan Bukit Jalil.

Lebih baik kita siap sedia segala kemungkinan daripada terpaksa rugi beribu ringgit akibat kerosakan harta ataupun lebih parah kehilangan nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!