Kawal nafsu berbelanja
KONSEP beli dulu bayar kemudian atau dalam bahasa Inggeris buy now pay later (BNPL) yang kebanyakan kini didapati di platform jualan dalam talian dilihat mempunyai baik dan buruknya kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan itu.
Namun kemudahan tersebut juga boleh mendatangkan kesan negatif sekiranya seseorang individu itu gagal mengawal nafsu membeli-belah tanpa memikirkan kesan akan datang.
Kemudahan pembayaran secara ansuran bulan itu jika tidak dikawal, boleh menyebabkan mereka membeli disebabkan hanya mahu memenuhi kehendak dan bukannya kerana keperluan terdesak.
Apa yang menarik kaedah ini memberi peluang kepada pengguna membuat bayaran pendahuluan dan kemudian diberi pilihan untuk menjelaskan bayaran ansuran sama ada dalam tiga bulan, enam bulan atau pun 12 bulan selain kelulusan yang singkat.
Sekiranya keinginan membeli tidak dikawal, pengguna mungkin terbeban dengan hutang dan lebih malang pendapatan yang diperolehi akan habis digunakan untuk membuat bayaran ansuran sahaja.
Ini kerana jika tidak melunaskan bayaran pada tarikh yang ditetapkan, mereka akan dikenakan kadar faedah tinggi dan menambahkan lagi hutang piutang sedia ada.
Malah platform e-dagang akan memancing pengguna dengan menawarkan tambahan kredit pembelian setelah berjaya menyelesaikan bayaran contoh had limit bermula dari RM600 boleh meningkat kepada RM3,000 dan seterusnya RM10,000 seandainya kerap membeli.
Bagi yang suka berbelanja pasti ia dianggap peluang yang menggembirakan kerana boleh membeli-belah tanpa had lebih-lebih lagi syaratnya semudah ABC.
Ramai juga pengguna yang berkongsi mengenai keburukan BNPL seandainya gagal mengawal nafsu dan berbelanja sesuka hati.
Bagaimanapun masih ada lagi yang tidak menjadikan kisah-kisah pengalaman individu itu sebagai pengajaran kerana berpegang kepada konsep biar papa asal bergaya.
Maka tidak mustahil ada di antara pengguna kini mempunyai komitmen tambahan hutang dalam tempoh tertentu, gara-gara gagal mengawal perbelanjaan dan kewangan mereka kerana keseronokan berbelanja.
Situasi itu dilihat sangat menakutkan dalam keadaan ekonomi semasa, memandangkan pengguna kini dibebani dengan kenaikan kos harga barang dan pelbagai kos lain yang lebih utama.
Boleh disifatkan BNPL salah satu pembunuh senyap, yang akan memakan diri selepas kredit kad kepada mereka yang gagal menguruskan kewangan dengan baik.
Lebih memburukkan keadaan apabila mereka kemungkinan diganggu pemungut hutang dan bakal menerima writ saman kerana ketidakpatuhan menjelaskan ansuran hingga mengakibatkan hutang keliling pinggang.
Disebabkan terperangkap dalam lubuk hutang, akhirnya cara yang terakhir untuk menyelesaikan permasalahan itu dengan mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika tidak bakal berdepan dengan senarai hitam oleh agensi kredit.
Apa yang penting perkhidmatan ini juga perlu dikawal selia demi kebaikan pengguna selain menggelakkan daripada sebarang potensi risiko kepada sistem kewangan.
Namun jika digunakan dengan berhemah, khidmat BNPL dapat membantu pemilik kenderaan membuat bayaran ansuran cukai jalan dan insurans kenderaan secara bulanan berbanding bayaran sekaligus yang membebankan.
Selain itu BNPL menjadi pilihan lebih baik kepada pengguna agar tidak memohon kad kredit yang mengenakan kadar faedah lebih tinggi atau pun membuat pinjaman daripada peminjam haram seperti along.
Bagi yang mahu memulakan perniagaan sudah pasti menganggap BNPL ini sebagai satu kemudahan yang membantu mendapatkan modal perniagaan atau membeli peralatan niaga tanpa perlu menggunakan kad kredit, meminjam insan lain dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang menyulitkan dan ketat.
Terdapat juga platform yang turut menawarkan pengeluaran tunai dengan caj rendah yang secara tidak langsung menjadi talian hayat sekiranya seseorang itu benar-benar dalam situasi terdesak atau kecemasan.
Apa pun kebaikan dan keburukan BNPL, pengguna harus membuat pertimbangan sewajarnya dan berbelanja secara bijak seperti kata pepatah lama 'ukur baju di badan sendiri' supaya dapat mengelakkan mereka daripada terjebak ke kancah hutang.
* Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!