SPRM wajar bertindak
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang menggunakan peruntukan kawasan untuk pemberian wang secara peribadi kerana dikhuatiri mempunyai elemen rasuah.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, perbuatan tersebut dibimbangi disalah tafsir sebagai membeli atau mencari pengaruh rakyat.
Menurutnya, wakil rakyat boleh menggunakan gaji atau elaun diterima untuk memberi sumbangan peribadi sekiranya melawat orang sakit, menghadiri majlis perkahwinan serta menziarahi waris penduduk yang meninggal dunia.
“Pada peringkat #RasuahBusters, kami konsisten menolak sebarang usaha menyalahgunakan peruntukan untuk tujuan sumbangan peribadi, sebab boleh disalah tafsirkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mana-mana ahli Parlimen yang menghulurkan wang secara peribadi kepada orang lain menggunakan peruntukan untuk rakyat akan diambil tindakan oleh SPRM.
Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Selangor, Wan Azliana Wan Adnan juga senada menyokong peringatan yang ditegaskan Perdana Menteri itu.
Namun, beliau mengakui, wakil rakyat berdepan rasa serba salah apabila rakyat mengharapkan bantuan sedangkan dana sedia ada tidak mencukupi sehingga segelintirnya terpaksa menerima dana dari sumber lain yang juga dikhuatiri sebagai rasuah.
“Jika beri bantuan secara peribadi contohnya sumbangan orang kahwin seperti yang Anwar cakap memanglah tidak boleh,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim mempunyai pandangan berbeza kerana wakil rakyat berhak memberikan bantuan kewangan atas dasar logik dan keperihatinan kemanusiaan.
Jelasnya, tiada sebarang peruntukan undang-undang menyatakan kesalahan apabila seorang wakil rakyat memberikan bantuan kewangan kepada rakyatnya yang dalam kesusahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!