Bapa hidap radang hati, ketumbuhan bimbang masa depan anak

Mas Imran (kiri) menyampaikan bantuan barang dapur sumbangan Pasar Raya Econsave kepada Marzuki di rumahnya di Permas Jaya, Johor Bahru pada Rabu.
Mas Imran (kiri) menyampaikan bantuan barang dapur sumbangan Pasar Raya Econsave kepada Marzuki di rumahnya di Permas Jaya, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bapa kepada 13 cahaya mata runsing apabila memikirkan masa depan anak-anaknya terutama empat daripadanya yang masih bersekolah selepas tidak lagi berkerja kerana masalah kesihatan.

Marzuki Mat Noh, 52, yang menyewa di sebuah rumah di Permas Jaya di sini mengalami radang hati, bengkak usus dan ketumbuhan di bahagian limpa pada Mac lalu.

Sebelum ini katanya, dia berkerja siang dan malam bagi menyara anaknya yang ramai sebagai pemandu peribadi dan tukang rumah dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

"Saya mempunyai 13 anak berusia lima sehingga 28 tahun, tujuh daripadanya sudah bekerja, empat masih bersekolah manakala anak bongsu masih belum didaftarkan ke pra sekolah. Anak keenam saya sudah meninggal dunia ketika masih bayi.

"Saya bersyukur kerana tujuh anak saya berusia 22 sehingga 28 tahun membantu meringankan beban keluarga sekadar yang mampu selepas saya diuji dengan masalah kesihatan. Mereka membantu sekadar yang mampu kerana hanya bekerja biasa.

"Ini kerana mereka bekerja kilang, pembantu kantin, pembantu tahfiz, bekerja di restoran makanan segera, pembantu di pasar tani, menjadi pemandu e-hailing serta bekerja di stesen minyak.

"Tiga daripada mereka juga terpaksa menanggung kos sewa bilik di luar kerana rumah sewa kami ini hanya memiliki dua bilik tidur dan agak sempit terutama ruangan untuk tidur," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan barang dapur bernilai RM1,000 disampaikan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam bersama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Syed Sallilah Assad Syed Mashor dan Ketua Kampung Senibong, Abd Rahim Moen di rumahnya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Marzuki berkata, selain sumbangan daripada anak-anak, keluarganya menerima bantuan bulanan berjumlah RM400 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk membayar rumah sewa tersebut.

Dia bimbang dengan pendapatan yang tidak menentu terutama memikirkan masa depan empat anaknya Mohd Irsyadduddin, 15; Mohd Iqraam, 13; Noor Afiqah, 10, dan Mohd Firash yang sedang bersekolah manakala anak bongsunya, Sumayyah, 5, akan mula bersekolah tahun depan.

Mengenai sakit yang dialaminya, dia berkata, pada awalnya hanya mengalami sakit kepala dan kemudian mula hilang selera makan.

"Sejak November tahun lalu, berat badan saya juga semakin merosot daripada 80 kilogram (kg) susut kepada 50kg dan saya menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Sudah lama saya tidak dapat menjamah nasi dan hanya minum Horlicks serta makan bubur nasi.

"Buat masa ini, saya hanya dibekalkan ubat dan diminta untuk dirujuk ke hospital sekiranya keadaan masih sama," katanya.

Sementara itu, isterinya, Asiah Abu Naim, 48, berkata, keluarganya bercadang memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekiranya berpeluang bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Marzuki menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN)-0114841000026750.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!