Semarakkan semangat perjuangan, idealisme reformasi di hati ahli PKR
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua ahli parti itu bahawa semangat perjuangan dan idealisme reformasi harus kental dan tetap semarak di hati sanubari mereka.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, parti itu telah melalui zaman yang penuh getir sejak 25 tahun lepas dan itu merupakan ledakan suara reformasi yang dibawa PKR untuk membawa perubahan demi menyelamatkan bangsa dan negara.
"Saya harap rakan-rakan reformis awal dan anak-anak muda dapat terus menjiwai semangat perubahan untuk menyelamatkan bangsa dan negara serta kekal hidup sebagai negara yang bersatu dan memacu pertumbuhan menjadi negara yang maju dan cemerlang di rantau ini,” katanya.
Anwar berkata demikian melalui video ringkas yang ditayangkan pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan PKR Selangor 2023 di sini malam Rabu.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Pengerusi PKR Selangor.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada Amirudin, yang menganjurkan program itu sebagai acara untuk mengingati, menyantuni dan menghargai pejuang reformis awal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!