Jualan Rahmah: Komitmen segera kerajaan atasi krisis beras - Persatuan pengguna
KUALA LUMPUR - Inisiatif program Jualan Rahmah Beras dengan peruntukan RM150 juta, menunjukkan keazaman kerajaan meringankan bebanan kewangan rakyat pada ketika kenaikan harga beras menjadi isu global.
Menerusi program itu, beras import yang dirancang dijual hanya pada sekitar RM13 hingga RM14 bagi setiap lima kilogram untuk golongan B40 ini bukan sahaja murah, malah secara purata lebih rendah berbanding harga sebelum kenaikan harga beras itu, pada awal bulan ini.
Program yang bermula semalam itu, diumumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Isnin, sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras import serta ketiadaaan beras tempatan.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin menyifatkan inisiatif itu sebagai usaha segera jangka masa pendek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), sementara menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan.
"Cuba kita letakkan diri kita dalam golongan B40, (adakah) kita mampu beli beras sahaja RM50 bagaimana dengan lauk lain, disebabkan itu kerajaan buat langkah ini (Jualan Rahmah Beras) untuk jangka masa pendek.
"Sekarang kita tengok keluaran beras tempatan 65 hingga 70 peratus, jadi kalau boleh kita perlu meningkatkan beras tempatan 100 peratus jangan bergantung pada beras import,” katanya kepada Bernama.
Pada 1 September lepas, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan mengumumkan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa hari sama, sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Susulan kenaikan harga beras import itu di pasaran tempatan, permintaan terhadap beras tempatan turut meningkat menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Asyikin berkata, pemantauan penguat kuasa FOMCA mendapati beras tempatan juga sukar diperoleh di kedai runcit dan pasar raya susulan rungutan orang ramai mengenai ketiadaan beras di pasaran.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan perlu mempunyai perancangan bagi jangka masa panjang, dalam menangani isu keterjaminan makanan.
"Antaranya kerajaan perlu menyediakan beberapa insentif yang menarik kepada petani bagi mengalakkan penanaman padi yang banyak, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap beras import. Kita ada tapak tanah yang banyak yang boleh kita manfaatkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!