Muhyiddin beri kenyataan kedua pagi ini
KUALA LUMPUR - Pihak polis sekali lagi akan mengambil kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan dakwaan kenyataan berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, Johor pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan perkara itu, selepas dihubungi media.
Bekas Perdana Menteri yang hadir dengan memakai baju berwarna hitam, tiba di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, di sini pada jam 9.13 pagi, bagi tujuan berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, tindakan itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 3 September lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah kempen DUN Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi dakwaan Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!