FRIM mahu arus perdanakan aktiviti komersialisasi

Mahmudin ketika temu bual khas mengenai produk FRIM, baru-baru ini. - Foto Bernama
Mahmudin ketika temu bual khas mengenai produk FRIM, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) komited untuk mengarusperdanakan aktiviti komersialisasi teknologi sebagai satu daripada teras penjanaan pendapatan institut itu, menerusi produk dan teknologi yang dibangunkan saintisnya.

Pengarah Inovasi dan Komersialisasi (ICD) FRIM, Mahmudin Saleh berkata, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM berjaya menghasilkan output yang berpotensi dalam pelbagai bentuk seperti produk, proses, formulasi, reka bentuk dan varieti tumbuhan.

Beliau menjelaskan kesemua harta intelek institut dibangunkan oleh saintis FRIM menggunakan biosumber tempatan yang bersesuaian dengan persekitaran iklim dan aplikasi, serta memenuhi piawai industri dan keperluan pasaran.

"Secara keseluruhannya FRIM menjana pendapatan melalui pengkomersialan dan perkhidmatan sekitar RM7 juta setahun, namun ia tidak mencukupi untuk menampung kos R&D serta peringkat pengembangan teknologi di fasa aplikasi atau komersial selanjutnya," katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa pulangan daripada hasil pengkomersialan mempunyai banyak ruang untuk ditambah baik bagi melonjakkan pendapatan FRIM dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, komersialisasi rangkaian produk dan teknologi FRIM merentas bidang-bidang berasaskan kayu, hasilan semula jadi, bioteknologi perhutanan serta pengurusan biodiversiti dan perhutanan tropika, melibatkan pelbagai sektor huluan dan hiliran yang masih belum diceburi sepenuhnya.

Selain itu, Mahmudin berkata legasi kecemerlangan R&D FRIM yang sebahagiannya menjangkau hampir 100 tahun, kini dikenali sebagai pusat rujukan kebangsaan dan serantau termasuk Herbarium yang mempunyai lebih 350,000 spesimen tumbuhan dan Insectarium (lebih 600,000 spesimen serangga).

Selain itu, antara rujukan utama termasuk Fungarium dengan koleksi lebih 3,000 spesimen kulat, Xylarium (lebih 10,000 spesimen kayu), Biji Benih (lebih 1,000,000) serta Asid Deoksiribonukleik (DNA) Tumbuhan (lebih 22,000).

Artikel Berkaitan:

Ia termasuk rujukan berkepentingan seperti bioprospek spesies tumbuhan ubatan dan herba, ekstrak tumbuhan, ekstrak piawai, minyak pati, sebatian kimia tulen, pencilan mikrob dan 32 koleksi penanda kimia spesies herba berkepentingan negara.

Pada masa sama, beliau berkata, rangkaian lebih 30 makmal dan fasiliti di FRIM turut menyediakan perkhidmatan meliputi lebih daripada 200 jenis skop ujian yang dipersijilkan dan diakreditasi oleh badan persijilan tempatan dan antarabangsa, menerusi pelbagai lapisan industri di sektor huluan dan hiliran perhutanan tropika negara.

"FRIM mempunyai 35 bidang kepakaran dan sedia memberi khidmat perundingan ikhtisas kepada pelanggan meliputi seluruh rantaian huluan dan hiliran perhutanan tropika serta termasuk aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)", katanya.

Beliau berkata, kini terdapat lebih 400 pendedahan reka cipta [Invention Disclosure' (ID)] berupa output dalam bentuk produk dan teknologi FRIM yang telah didaftarkan, iaitu lebih 60 daripadanya difailkan sebagai harta intelek (IP) institut di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Sementara itu, beliau berkata, antara cabaran utama dalam usaha komersialisasi produk dan teknologi FRIM adalah tahap ketersediaan teknologi (TRL) merentasi makmal ke pasaran, promosi dan pemasaran produk atau teknologi FRIM hingga ke 'market place', serta ketersediaan seluruh rantaian nilai produk dan teknologi dalam segmen pasaran berkaitan.

"Setiap tahun, sebanyak 120 projek R&D dijalankan di FRIM, di mana sekitar 40 projek siap dan akan menjana antara 20 hingga 30 ID yang didaftarkan di ICD. Apabila hendak bawa teknologi ini ke hadapan untuk dikomersialkan, kami perlu melihat TRL yang mempunyai tahap satu hingga sembilan.

"Tahap kesembilan ini merupakan prototaip yang telah terbukti beroperasi dalam persekitaran sebenar dan sedia untuk dikomersialkan pada bila-bila masa" katanya.

Beliau berkata, pelabur yang berminat untuk mengkomersialkan produk dan teknologi FRIM yang bersatus hijau dan mesra alam amat dialu-alukan untuk bekerjasama dengan institut itu.

Kerjasama strategik ‘menang-menang’ antara FRIM dan industri dilihat sebagai antara resepi utama ke arah melonjakkan peranan, sumbangan dan impak R&D FRIM dalam pelbagai sektor, selain mampu memacu pertumbuhan dan pembangunan mampan industri perhutanan negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!