Selangor tawar beras harga istimewa
SHAH ALAM - Sebanyak 2,700 kampit beras jenama Ehsan ditawarkan pada setiap hari kepada rakyat di negeri Selangor di tujuh lokasi bermula pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, beras dengan kuantiti lima kilogram (kg) itu dijual pada harga hanya RM13 sekampit di premis jualan PKPS manakala di lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) kekal pada harga RM10.
Ujarnya, usaha tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam usaha membantu rakyat Selangor dan meringankan beban mereka yang terkesan akibat kenaikan harga beras.
“Pada masa sama juga, kita mahu bantu kekalkan rantaian bekalan makanan yang baik untuk rakyat supaya tiada pihak yang terjejas,” katanya.
Isnin lalu, kerajaan memaklumkan akan melaksana Jualan Rahmah Beras dalam masa terdekat bagi menangani isu kenaikan harga beras import selain kekurangan beras tempatan ketika ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan berkenaan isu beras di Selangor sebagai usaha meringankan beban rakyat.
Menteri Besar akan membuat pengumuman berkenaan di Wisma PKPS pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!