Muhyiddin selesai beri keterangan selepas hampir tiga jam
KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberi kenyataan berkaitan 'orang Melayu akan hilang kuasa' ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada Khamis.
Bekas Perdana Menteri itu memakai baju berwarna hitam tiba di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, di sini pada jam 9.13 pagi.
Selepas hampir tiga jam di bangunan tersebut, Muhyiddin keluar bersama pengiringnya pada jam 11.58 pagi, kemudian tersenyum sambil melambai kepada para wartawan.
Bagaimanapun, pemimpin berusia 76 tahun itu, tidak membuat sebarang kenyataan mengenai perkara terbabit.
Pada 3 September lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu ceramah di Simpang Jeram, Johor.
Ucapannya itu turut dikongsi menerusi halaman Facebook yang mana mengandungi 'Melayu pada hari ini tidak lagi menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa, sedar ataupun tidak, betul ataupun tidak'.
Media melaporkan, tindakan itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada 12 September lalu, pihak polis mengambil kenyataan Ahli Parlimen Pagoh ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kenyataannya, bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada PRK Parlimen Pulai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!