Dituduh berjudi, ibu Neelofa bersuara pertahan Ameera
TUDUHAN netizen yang mengatakan adik Neelofa, Ameera Khan berjudi membuatkan ibunya, Datin Noor Kartini Mohamed naik berang dan membidas dakwaan netizen menerusi Instagramnya baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Noor Kartini berkata, Ameera menghadiri satu majlis berkaitan pelancaran beg tangan jenama antarabangsa dan bukannya menghadiri acara lumba kuda.
Bagaimanapun tuduhan semberono warga maya membuatkan beliau tidak dapat menahan diri untuk membetulkan salah faham.
“Mereka (warganet) sepatutnya faham majlis pelancaran dengan acara berjudi adalah dua perkara berbeza. Ameera ke sana kerana menghadiri pelancaran beg tangan.
“Saya bersuara sebab rasa geram bila mereka tak faham cerita di sebalik dan terus buat tuduhan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Naelofar X Disney di IOI Mall Putrajaya pada Khamis.
Tambah Kartini, beliau sudah pun memadamkan hantaran di Instagram kerana sudah menjelaskan salah faham yang berlaku.
“Ameera masih di bawah perlindungan dan jagaan saya, jadi sebab itu saya rasa perlu bersuara,” jelasnya.
Sementara itu, Ameera yang ditemui pada majlis sama hanya memberi komen ringkas mengenai perkara itu.
“Apa sahaja yang saya pilih untuk ditunjukkan di Instagram adalah kerana itu yang saya pilih.
Fikirlah apa yang kamu nak fikir. Tugas saya adalah bekerja,” ujarnya.
Pada 11 September lalu, Ameera mencetus kontroversi apabila memuat naik imej dia di sebuah tempat dipercayai bagi menyaksikan satu acara melibatkan perlumbaan kuda atau perjudian sewaktu dia berada di luar negara.
Posting adik kepada selebriti Neelofa itu sekali gus mengakibatkan segelintir pihak menuduh dia berjudi.
Fitnah itu juga menimbulkan ketidakpuasan hati Noor Kartini yang menyelar tindakan biadab pihak yang menuduh anaknya sedang berjudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!