Maritim tumpas sindiket penyeludupan dadah RM27 juta sejak 2020

Khairul Anwar (tengah) menunjukkan antara dadah yang dilupuskan.
Khairul Anwar (tengah) menunjukkan antara dadah yang dilupuskan.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan jalan laut dan merampas dadah seberat 1,301 kilogram bernilai lebih RM27 juta dari tahun 2020 sehingga awal tahun ini.

Ia hasil serbuan dilakukan Maritim Kedah dan Perlis di Zon Maritim Kuala Kedah dan Tanjung Sedili serta Maritim Batu Pahat, Johor.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata, kesemua dadah tersebut terdiri dari jenis ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan MDMA.

Menurutnya, dadah itu dibawa masuk ke negara ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Malaysia dijadikan transit sebelum ia diseludup keluar ke negara jiran termasuk Australia.

"Di utara, kami mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Thailand yang sumber dadah ini dibawa masuk dari Laos, Kemboja dan Myanmar.

"Ada yang diedarkan untuk pasaran tempatan dan dibawa ke ibu negara manakala di Johor pula dipercayai dijadikan lokasi transit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelupusan kesemua dadah berkenaan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sejak 2018 hingga sekarang, seramai 86 warga tempatan dan 20 warga asing telah ditahan bagi tiga Zon Maritim terbabit.

" Maritim akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di lokasi titik panas yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah penyeludupan dadah di laut," katanya.

Sementara itu berkenaan pelupusan dilakukan Khairul Anwar berkata, ia dilaksanakan selepas Maritim Malaysia menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

Ujarnya, proses pelupusan dadah terbabit dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator.

Ujarnya, kaedah tersebut telah dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah yang dirampas tanpa mencemari alam sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!