'Bukan beri wang tapi kotak minuman' - Ketua Polis Johor
JOHOR BAHRU - Polis Johor menegaskan tiada sebarang pemberian wang kepada dua anggota unit kereta peronda polis (MPV) seperti video yang tular di aplikasi TikTok dalam kejadian di sebuah kawasan perindustrian di Kulai pada 3 September.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati anggota terbabit menerima kotak minuman yang diberikan dua lelaki tempatan yang juga pemilik kilang.
Katanya, ketika kejadian anggota terbabit sedang membuat rondaan sebelum berhenti di hadapan sebuah kilang kerana terdapat orang ramai berkumpul bagi perayaan 'Hantu Lapar' yang diraikan masyarakat Cina.
"Polis sudah buka kertas siasatan selepas laporan polis dibuat oleh dua anggota MPV dan lelaki di dalam video yang juga pemilik kilang tersebut pada Rabu.
"MPV berhenti di hadapan kilang itu kerana ada orang ramai dan tanya jika ada sebarang masalah. Tindakan anggota itu tidak keluar dari MPV turut dipersoalkan dan menimbulkan persoalan apabila pemilik kilang keluar dan memberikan sesuatu.
"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati ia kotak minuman dan bukannya wang yang diberi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di sini pada Khamis.
Sebelum itu, pada Rabu, tular video berdurasi 38 saat memaparkan dua lelaki yang membelakangi rakaman video, memberikan sesuatu kepada anggota polis MPV.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!