Pemilik bot didenda RM10,000 terlibat kegiatan bot klon
KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik bot tempatan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis gara-gara bersekongkol dengan nelayan asing yang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot klon.
Tertuduh, Mohammed Sabri Mohammed, 56 menerima hukuman itu setelah mengaku salah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membenar untuk dikendalikan sebuah vesel penangkapan ikan tempatan pada jarak kira-kira 37.9 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dalam perairan Malaysia tanpa lesen yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 2.16 petang pada 6 September lalu.
Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (b) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh telah menggunakan nombor, huruf atau lain-lain cara pengenalan vesel tangkapan ikan lain ketika vesel tangkapan ikan tempatan ditahan di masa dan lokasi sama.
Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dbawah Seksyen 14 (3)(b) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (b) akta yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan bot dan peralatan bernilai RM1.5 juta yang terlibat dilucut hak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 52 (1) Akta Perikanan 1985.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perikanan, Hairul Effendy Adzmi dan Mohamad Akram Sallehudin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan setakat ini kes tersebut adalah yang pertama berdepan tindakan pendakwaan di Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!