Agong berkenan melawat Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan
TANJUNG MALIM - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan berangkat ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, dekat sini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan menyertai Seri Paduka dalam lawatan tersebut yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia mengenai operasi NWRC dan menyaksikan sendiri inisiatif konservasi hidupan liar di pusat itu termasuk Harimau Malaya, beruang matahari, tapir dan seladang.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melepaskan burung Murai Batu yang merupakan hasil rampasan sebagai simbolik lawatan sulung Seri Paduka.
NWRC ditubuhkan sebagai pusat menyelamat iaitu penempatan sementara hidupan liar yang dirampas di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
Pusat itu menjalankan aktiviti konservasi Harimau Malaya secara ‘ex situ’ seperti menjalankan operasi menyelamat, rehabilitasi, husbandri, rawatan dan kawalan penyakit, penyelidikan dan pembiakan menggunakan teknologi terkini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!