Festival Setiu Wetlands 2023 sasar 30,000 pengunjung
SETIU - Festival Setiu Wetlands 2023 kali ini menyasarkan sehingga 30,000 pengunjung berbanding 10,000 pada penganjuran pada tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Shahriz Ahmad Laili berkata, festival bermula hari ini sehingga Ahad itu bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti setempat mengenai keunikan persekitaran alam semula jadi serta menjaga kepentingan penjagaan ekosistem.
"Festival ini merupakan acara tahunan yang sudah diadakan sejak 2018. Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pertandingan cari kepah, pertandingan memasak dan sukan pelayaran.
"Selain itu, pertandingan bakat Setiu Wetlands, persembahan dikir barat, persembahan silat dan sebagainya.
"Buat julung kali diadakan ialah cabutan bertuah untuk tarikan kepada pengunjung iaitu hadiah sebuah motosikal," katanya kepada Sinar Harian di Festival Setiu Wetlands 2023 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Shahriz berharap program itu bukan sahaja sebagai tarikan kepada pengunjung malah dapat beri impak kepada komuniti setempat dari segi menjana pendapatan.
"Kita harap komuniti setempat di sini mendapat limpahan ekonomi menerusi jualan produk makanan tempatan yang dijual.
"Hampir 20 pempamer terlibat dalam festival ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO)," ujarnya
Selain itu, katanya, pelbagai jenis gerai jualan termasuk makanan, kraftangan dan barang kemas turut berada sepanjang festival tersebut berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!