Christopher wakil tunggal negara ke Athletics Road Running World Championship

Christopher (dua dari kiri) bergambar bersama Kon Yeow (dua dari kanan) dan Tom Khoo (kanan) selepas sidang media di Komtar pada Khamis.
Christopher (dua dari kiri) bergambar bersama Kon Yeow (dua dari kanan) dan Tom Khoo (kanan) selepas sidang media di Komtar pada Khamis.
A
A
A

JURULATIH fizikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), S Christopher akan mewakili negara ke Athletics Road Running World Championship yang akan diadakan di Latvia pada 1 Oktober ini.

Anak jati Pulau Pinang dari Bayan Lepas itu adalah atlet dalam acara larian dari badan bukan kerajaan (NGO), Penang Forward Sports Club dan merupakan wakil tunggal Malaysia yang akan menyertai kejohanan tersebut.

Menurut pemuda berusia 30 tahun itu, antara cabaran utama yang perlu dihadapinya adalah keadaan cuaca sejuk di Latvia pada Oktober nanti.

"Cabaran utama saya adalah cuaca sejuk, namun saya sudah buat persediaan awal. Walaupun saya sudah biasa berlari dalam musim sejuk dalam acara 'Half Marathon 21k' di 'Gold Coast Marathon' pada 30 Jun lalu, saya masih perlu mempersiapkan diri untuk berlari di Latvia nanti.

"Dari segi persediaan lain, saya sudah bersedia sepenuhnya dan akan memberikan yang terbaik pada 1 Oktober nanti," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Khamis.

Christopher sebelum itu menerima bendera Malaysia dan Pulau Pinang daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang turut dihadiri Penasihat Penang Forward Sports Club, Datuk Tom Khoo.

Tom Khoo berkata, Christopher pernah mencatatkan masa 1 jam 9 minit dalam Half Marathon 21km di Gold Coast Marathon.

Menurutnya, kejayaan itu telah melayakkannya untuk menyertai Athletics Road Running World Championship dengan masa rujukan kelayakan di bawah 1 jam 10 minit.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai anak jati Pulau Pinang, kejayaan Christopher wajar dibanggakan kerana beliau hanya merupakan pelari amatur yang menabur khidmat dengan pasukan TLDM dan bukannya profesional yang berlatih sepenuh masa dalam pasukan kebangsaan.

"Disebabkan beliau bukan pelari berdaftar daripada pasukan kebangsaan negara, maka beliau menghadapi beberapa kesukaran termasuk dalam aspek kewangan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.

"Oleh itu, kita bersetuju untuk menaja Christopher berjumlah RM10,000 untuk perbelanjaan beliau termasuk tiket penerbangan, penginapan, kos pendaftaran, makanan dan sebagainya," katanya.

Selain Forward Sports Club, kerajaan negeri turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada Christopher.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!