Jabat Perak lapor polis Howard Lee tafsir ayat al-Quran
IPOH - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How kerana membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee kerana dianggap menghina agama Islam.
Menurutnya, segala hal berkaitan tafsiran ayat-ayat suci al-Quran hendaklah disentuh atau ditafsir oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut apatah orang bukan Islam.
"Saya sebagai orang Islam merasakan kenyataan beliau itu satu penghinaan apabila seseorang bukan Islam menafsirkan ayat di dalam al-Quran. Bagi pendapat saya, tindakan yang tegas perlu diambil terhadap YB (yang berhormat) Howard Lee yang secara sengaja telah menghina agama Islam.
"Selaku Presiden Jabat Perak, saya menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat tersebut kerana menyentuh perkara 3R bagi memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini pada Khamis.
Semalam, Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri turut menyelar pemimpin DAP itu mentafsir dan memutarbelitkan tafsir ayat 59, surah an-Nisa menerusi satu video yang dimuat naik di dalam akaun TikTok milik ahli Parlimen berkenaan.
Menurutnya, ucapan tersebut amatlah dangkal dan mengandungi unsur provokasi melampau terhadap kesucian agama Islam.
Jelasnya, tindakan Howard Lee itu boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!