Benarkah tidak solat dan selawat ke atas Nabi jadi punca gempa bumi?

Sepatutnya kita melihat kejadian seperti itu sebahagian daripada cara ALLAH menyedarkan kita untuk menjadi insan yang lebih baik di samping mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

A
A
A

GEMPA bumi adalah tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT dalam penciptaan alam semesta ini, di mana DIA menjadikannya sebagai peringatan, ancaman, atau hukuman terhadap hamba-hamba-NYA.

Apabila berlakunya peristiwa sebegini, manusia seharusnya ingat ketika tanda-tanda ini terjadi tentang kelemahan dan kekurangan mereka di hadapan ALLAH YANG MAHA TINGGI.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Gempa telah banyak berlaku di belahan bumi Utara, Timur dan Barat, akan tetapi kelihatannya, yang dimaksudkan dengan banyaknya gempa adalah luasnya wilayah kejadiannya dan berlaku secara terus menerus.

Rentetan peristiwa dan ujian besar yang menimpa salah sebuah negara Islam ini baru-baru ini iaitu Morocco, pastinya ramai daripada kita merasa sedih, tambahan lagi angka mangsa yang terkorban dan tercedera masih lagi terdapat peningkatan dari hari ke hari.

Perkara ini turut mendapat perhatian agamawan terkemuka, Datuk Seri Dr Hj Zulkifli Mohamad Al Bakri apabila baru-baru ini beliau menerbitkan siri Mawaqif mengenai beberapa catatan tentang gempa bumi Morocco.

Menurutnya, di dalam ujian gempa bumi yang menimpa bumi Morocco ini juga, ALLAH tunjukkan kepada kita mereka yang tinggi kesabarannya apabila diuji bahawa mereka ini termasuk di kalangan orang-orang yang beriman.

Firman ALLAH dalam surah al al-Balad ayat 17, “Selain dari (amalan baik yang telah disebutkan) itu, dia menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Dr Hj Zulkifli Mohamad Al Bakri
Datuk Seri Dr Hj Zulkifli Mohamad Al Bakri

Gempa bumi, sunatullah kepada alam

Susulan gempa yang berlaku ini juga, terdapat sesetengah pihak yang mengatakan apa yang berlaku di Turkiye, Morocco adalah disebabkan kerana ramai yang tidak mentaati perintah ALLAH seperti solat, berselawat dan lain-lain lagi.

Dalam hal ini, beliau menyatakan bahawa sepatutnya kita melihat kejadian seperti itu sebahagian daripada cara ALLAH menyedarkan kita untuk menjadi insan yang lebih baik di samping mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

“Begitu juga mengetahui bahawa kuasa ALLAH tiada tandingan dan bandingannya. Inilah yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam satu kuliah tafsirnya.

“Sebagaimana yang maklum dalam ilmu yang terkait dengan bumi, mereka menyatakan bumi ini mempunyai beberapa kerak (tektonik plat) yang terpisah-pisah di mana tempat kejadian itu juga terletak di garisan sesar (fault lines) yang memang selalu akan terjadi gempa bumi ketika tektonik plat ini bergerak akibat pergerakan seismik bumi.

“Maka, apabila berlaku gempa dengan pergerakan kerak atau ledakan ia menghasilkan gempa yang kuat. Inilah sunnatullah kepada alam, jadi tidak peliklah gempa bumi ini juga berlaku kepada Iran, Mexico tanpa mengira negara umat Islam atau tidak.

“Dengan kenyataan kita sedikit sebanyak melukakan perasaan sahabat-sahabat kita yang terkena musibah tanpa kita mengetahui keadaan sebenar hal mereka. Boleh jadi ramai di kalangan mereka mempunyai akhlak dan amalan yang jauh lebih baik daripada kita.

“Justeru, seharusnya kita memupuk sikap husnuzan yang pasti akan memberi banyak manfaat kepada kita dan mereka tanpa merasa kesal atas tuduhan terhadap mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!