Kanak-kanak dua tahun lintas jalan tiba-tiba, nyaris dilanggar
ALOR GAJAH - Tular video berdurasi tiga minit yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris dilanggar kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, Jalan Melaka Pindah di sini pada Rabu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 6.51 pagi, kanak-kanak terbabit turun dari kereta secara bersendirian dari sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan dan terus melintas jalan yang ketika itu sibuk di kedua-dua arah laluan.
Menerusi rakaman video tersebut juga terdengar dentuman kuat dipercayai kenderaan pemilik rakaman kamera papan pemuka tersebut telah dirempuh kenderaan lain selepas dia memberhentikan kenderaan secara mengejut bagi mengelak dari melanggar mangsa.
Video berkenaan turut menunjukkan seorang lelaki segera mendukung kanak-kanak berkenaan sebelum diserahkan kepada seorang wanita yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan.
Difahamkan sebelum kejadian, wanita itu menyeberangi jalan menghantar anaknya ke sekolah tanpa menyedari mangsa yang ketika itu berada dalam kenderaan keluar bersendirian dari kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Arshad Abu yang dihubungi, mengesahkan insiden itu dan kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Honda CBR250 dan sebuah kereta Perodua Myvi.
Menurutnya, pemandu kereta berusia 32 tahun dan merupakan seorang guru dalam perjalanan dari Pekan Durian Tunggal menghala ke arah Lendu.
Katanya, setiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba seorang kanak-kanak telah melintas secara mengejut menyebabkan guru terbabit memberhentikan kereta secara mengejut sebelum terdengar dentuman dari arah belakang.
"Mangsa mendapati motosikal ditunggang seorang operator kilang berusia 28 tahun telah melanggar belakang kereta yang dipandunya.
"Bagaimanapun penunggang tersebut hanya mengalami luka dan cedera ringan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya.
Ujarnya, ibu kepada bayi berkenaan juga telah dipanggil ke balai polis dan diberikan nasihat, malah tidak menolak sekiranya terdapat arahan lanjut untuk mengambil tindakan ke atas kecuaian yang berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!