JPJ tahan warga asing 'mengganas' di jalan raya

Erick (kiri) melihat motosikal yang disita JPJ dalam Ops Pewa di Jalan Tasek Tambahan, Ampang, Selangor pada Khamis.
Erick (kiri) melihat motosikal yang disita JPJ dalam Ops Pewa di Jalan Tasek Tambahan, Ampang, Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan sahaja memandu dan menunggang kenderaan tanpa dokumen lengkap, malah warga asing juga membeli serta menyewa kenderaan daripada orang tempatan.

Dengan harga serendah RM1,500, warga asing boleh membeli sebuah motosikal terpakai.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, kegiatan warga asing itu terbongkar apabila ditahan dalam operasi pemandu warga asing (Ops Pewa) di Jalan Tasek Tambahan, dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi itu berjaya menyita 68 kenderaan dikendalikan oleh warga asing.

"Daripada jumlah sitaan itu, sebanyak 64 motosikal, dua lori dan dua kereta.

"Sejumlah 564 kenderaan diperiksa dan 149 diambil tindakan serta 280 notis saman dikeluarkan.

"Bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen Vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Aka Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Mengulas lanjut, Erick berkata, pihaknya turut menahan 49 individu dari Bangladesh, Myanmar, India, Myanmar, Pakistan serta Indonesia di atas pelbagai kesalahan imigresen.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun dan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, kenderaan yang disita dibawa ke JPJ Wangsa Maju bagi tujuan pemeriksaan.

Tambahnya, terdapat warga asing yang ditahan dipercayai membeli dan menyewa kenderaan daripada orang tempatan.

"Saya ingin memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing kerana mereka juga boleh diambil tindakan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!