Polis sahkan ambil keterangan Muhyiddin, Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan Muhyiddin diambil di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dekat sini, manakala Mohd Zaid hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau berkata, kesemua soalan yang dikemukakan oleh polis telah dijawab sepenuhnya oleh kedua-dua pemimpin tersebut.
"Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan oleh kedua-duanya adalah sangat baik dan pendekatan dibuat secara profesional.
"Kedua-duanya menunjukkan bahawa mereka bertanggungjawab dengan apa yang telah diperkatakan dan tidak lepas (menafikan) begitu sahaja.
"Pastinya ia memudahkan kerja kami untuk melakukan siasatan," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, lima saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebelum ini.
Menurutnya, Pengerusi PN itu didakwa menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa ketika berceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 3 September.
Sementara itu katanya, siasatan ke atas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah selesai apabila kesemua soalan telah dijawab oleh Ahli Parlimen Marang itu.
Untuk itu jelasnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!