Yang Dipertua Dewan Rakyat adakan lawatan rasmi ke China
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Beijing, China sempena lawatan rasmi ke republik itu bermula 23 hingga 28 September ini.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan sulung Johari sebagai Speaker Dewan Rakyat ke negara itu diadakan atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Republik Rakyat China, Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia.
Dalam lawatan rasmi itu, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Leji dan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC), Wang Huning.
"Lawatan rasmi ini adalah tindakan proaktif Parlimen Malaysia untuk memainkan peranan yang signifikan bagi melonjakkan hubungan Malaysia-China dalam kerangka legislatif dan perbincangan isu kelestarian alam yang pragmatik antara dua negara.
"Dalam lawatan itu, Johari juga akan ke Hangzhou untuk mengadakan pertemuan pelbagai hala bersama Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping dan menghadiri Sukan Asia ke-19 Hangzhou,” menurut kenyataan itu.
Lawatan berkenaan disifatkan amat signifikan dalam mempertingkatkan hubungan utuh antara dua negara bukan sahaja di peringkat Parlimen, bahkan kerjasama baik dua hala dalam pelbagai bidang penting termasuk sosioekonomi, pembangunan belia dan diplomasi antara budaya.
"Selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024, Parlimen Malaysia bersedia untuk memperkembangkan jalinan kerjasama yang baik ini bersama NPC dalam menyumbang kepada kesinambungan kerjasama yang saling menguntungkan antara dua negara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Johari turut dijadual menyampaikan syarahan umum "ASEAN dalam Abad Asia” kepada penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2025 demi memperluaskan kepentingan rantau itu.
Beliau juga akan melawat syarikat-syarikat gergasi China dalam bidang kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan makanan.
Turut serta dalam lawatan rasmi itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, M.Kulasegaran; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Datuk Awang Hashim; dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), Chiew Choon Man. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!