Malaysia sedia kongsi maklumat bagi bendung berita palsu di AMRI ke-16
DA NANG (Vietnam) - Malaysia sedia berkongsi maklumat mengenai usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membendung penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat, pada Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-16 yang bermula esok.
Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata, KKD telah melaksanakan usaha-usaha itu menerusi beberapa agensi di bawahnya termasuk platform Sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform MyCheck.
"Antara isu hangat yang akan dibincangkan dalam kalangan menteri-menteri adalah mengenai berita palsu.
"Saya percaya ini peluang baik untuk saya bersama dengan Datuk KSU (Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk bekerjasama serta merapatkan hubungan (sesama negara ASEAN),” katanya kepada Bernama sebaik tiba di Furama Resort Danang, iaitu lokasi AMRI ke-16 di sini, Khamis.
Fahmi berkata, media sosial kini memainkan peranan yang amat besar dalam penyampaian maklumat dan negara-negara ASEAN berusaha memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan benar serta menepati dasar kerajaan masing-masing.
Katanya, beliau melihat sidang AMRI memberi ruang untuk Malaysia memahami dengan lebih lanjut isu berkenaan dan mengambil peluang itu untuk belajar daripada pengalaman negara lain di rantau ini dalam menangani cabaran penyebaran berita palsu.
Beliau berkata, melalui mesyuarat itu, Malaysia juga berpeluang belajar daripada pengalaman negara-negara lain di rantau ini yang berhadapan dengan perubahan besar terutamanya di media sosial dalam aspek menarik dana pengiklanan yang kini meninggalkan kesan kepada syarikat dan organisasi media di negara masing-masing.
"Lain negara lain cara mereka. Saya percaya ini satu medan yang mungkin boleh membincangkan tentang isu-isu berkaitan media sosial juga,” katanya.
AMRI ke-16 dengan tema ‘Media: From Information to Knowledge for a Resilient and Responsive ASEAN’ akan membuka tirai secara rasmi esok.
Fahmi akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu. Turut serta ialah Mohamad Fauzi; Pengarah Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen), Datuk E.Sivabalan; Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin; serta pegawai-pegawai kanan lain daripada kementerian dan agensinya.
Mesyuarat itu antara lain memfokuskan pada usaha menangani salah maklumat dan membanteras berita palsu, bagi membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan dan responsif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!