Nilai eksport produk buluh naik 66.1 peratus - Fadillah
NILAI eksport produk buluh Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 66.1 peratus kepada RM14.46 juta pada 2022 berbanding RM8.7 juta pada tahun sebelumnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Nilai import produk buluh bagi 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta dengan kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pada masa ini, terdapat 577 pengusaha terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia yang merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan.
Selain itu, transformasi industri buluh juga perlu dilakukan secara holistik atau menyeluruh dan memastikan penghasilan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai.
"Semua pihak terbabit secara langsung dalam pembangunan industri itu untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaan pembaharuan dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehingga ke peringkat hiliran.
"Ini termasuk mengutamakan penghasilan produk buluh dengan nilai pasaran tinggi menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan teknologi terkini. Aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan dalam kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi dan yang berkaitan.
"Saya yakin dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 (WBD 2023) anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, pada Khamis.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr Norwati Muhammad.
Menjelaskan selanjutnya, Fadillah berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 70 spesies buluh, termasuk 45 yang merupakan spesies tempatan dan tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.
Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh adalah di Semenanjung Malaysia manakala 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus di Sabah.
"Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk perkayuan lain, namun ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan alternatif kayu untuk pelbagai jenis kegunaan,” katanya.
Beliau turut menyarankan MTIB bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dalam membangunkan industri buluh negara.
Bagi memastikan industri buluh terus berkembang maju, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang menumpukan lima teras strategik, katanya.
Ini termasuk pengukuhan dasar dan perluasan sumber; peningkatan modal insan, kepakaran dan kapasiti; pengukuhan inovasi, teknologi dan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan; pemerkasaan rantaian dan jaminan kualiti serta pengukuhan strategi pemasaran dan perkongsian pintar.
Pada majlis tersebut, Fadillah turut melancarkan buku bertajuk Industri Arang Buluh di Malaysia yang merupakan terbitan bersama MTIB dan FRIM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!