Cerucuk konkrit jatuh atas jalan
ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Tindakan sebuah treler membawa lebihan muatan cerucuk konkrit, terbongkar setelah lebih lima batang tiang berkenaan jatuh atas jalan di Jalan Alor Gajah lama, petang semalam.
Dalam kejadian lebih kurang jam 6 petang, pemandu dalam lingkungan 50-an itu dipercayai dari arah kilang kuari berdekatan dalam perjalanan menghala ke Alor Gajah, hanya menutup muatan itu menggunakan kain kanvas sebelum setiap cerucuk konkrit yang dianggarkan 600 kilogram itu terjatuh ketika treler berkenaan mendaki bukit berhampiran Kampung Panchor.
Penduduk Abu Bakar Yusof, 61 berkata, dia yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian terkejut mendengar dentuman kuat dan bergegas ke tempat terbabit sebelum mendapati beberapa batang cerucuk konkrit berada di atas jalan.
Menurutnya, kecuaian pemandu berkenaan perlu dikenakan tindakan tegas kerana membahayakan pengguna lain terutama penduduk kampung berhampiran.
"Banyak lori mahupun treler yang keluar masuk dari kawasan kuari berdekatan dan mungkin treler ini salah satu.
"Nasib baik cerucuk konkrit yang panjang dan berat itu tidak menghempap pengguna jalan raya lain, saya harap agar kenderaan berat tidak dibenarkan melalui jalan kampung seperti ini dan penduduk begitu marah dengan apa yang berlaku, " katanya.
Akibat insiden itu, hanya satu haluan sahaja dibuka dan menyebabkan sedikit kesesakan dari kedua-dua arah namun dibantu beberapa anggota polis trafik untuk melancarkan lalu lintas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A.Asmadi Abd Aziz yang dihubungi berkata tidak kemalangan jiwa dilaporkan namun pemandu itu akan dikenakan tindakan atas kesalahan menyebabkan kelalaian dan kecuaian mengendalikan barangan yang dibawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!