PRK Pelangai: 'Perkara biasa lawan anak murid' - Cikgu Kasim

Kasim dan Amizar
Kasim dan Amizar
A
A
A

BENTONG - Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat atau lebih dikenali Cikgu Kasim menyifatkan pertembungan bersama anak murid adalah perkara biasa dalam politik.

Kasim, 62, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong mengakui tidak terkejut apabila Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Bakar, 50, mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober nanti.

"Sebenarnya saya tidak terkejut sebab nama beliau disebut (sebagai calon PRK Pelangai). Untuk pilihan raya kali ini, masyarakat di DUN Pelangai nak anak tempatan, jadi BN tiada pilihan.

"Kalau Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh bukan orang (tempatan) DUN Pelangai. Maka saya rasa yang akan dipilih Datuk Amizar.

"Dia anak Pelangai, anak murid saya. Jadi terpulang kepada dia. Dalam politik biasa sama ada lawan kita adik-beradik, saudara atau anak murid sendiri," tambah Kasim yang juga anak kelahiran Felda Chemomoi.

Kasim yang juga Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Pahang pernah mengajar pelbagai subjek antaranya Biologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi dan ia dihadiri Amizar.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sains Kepujian, Biologi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu ingin menggunakan pengalaman dimiliki ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Pelangai sebelum ini sebaik mungkin.

"Masa PRU15 lalu, saya kekurangan jentera, tenaga tapi PRK kali ini dapat bantuan lebih banyak. Jadi ia memberikan kelebihan buat saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya kurang dikenali berbanding Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang berkampung lama beberapa tahun, berbanding saya hanya beberapa bulan. Kekuatan yang ada ketika itu menyebabkan kami tidak dapat meliputi seluruh pelosok kampung untuk perkenalkan diri.

"Bekas anak-anak murid beritahu (sudah) terlewat, tetapi saya yakin hasil pengakuan mereka melalui telefon, pertemuan fizikal, mereka memberikan sokongan kepada cikgu (saya)," ujar beliau.

Sementara itu, Amizar menolak dakwaan pertembungan dengan Cikgu Kasim pada PRK Pelangai sebagai anak murid dan guru.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) bersama Kasim (tengah) ketika majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai. - Foto Bernama
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) bersama Kasim (tengah) ketika majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai. - Foto Bernama

Beliau bagaimanapun mengakui mengikuti pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, Bentong dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima (1987-1991).

"Saya tidak sempat pun jadi anak murid Cikgu Kasim. Jadi tidak timbul konon PRK Pelangai ini pertembungan antara anak murid dan guru," katanya.

Untuk rekod, Amizar diumumkan sebagai calon BN oleh Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Bentong pada Rabu.

Beliau bakal berdepan Cikgu Kasim apabila Naib Yang Dipertua Pas Bentong itu sekali lagi dipilih bertanding di kerusi itu selepas kalah pada PRU15.

Cikgu Kasim merupakan guru SMK Felda Chemomoi dari tahun 1991 hingga 1999.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!