Masyarakat Islam diingat supaya sentiasa jaga maruah seseorang - Mohd Na'im
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menasihati masyarakat Islam supaya sentiasa menjaga dan menghormati maruah seseorang dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak apatah lagi pemimpin negara.
Beliau berkata, Islam sangat mementingkan pemeliharaan maruah walaupun ia melibatkan pihak musuh.
"Sebab itu Islam bersifat profesional dan ingatkan diri kita jaga mulut, pelihara diri maka Allah tutup aib kita dan pelihara maruah kita," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023, di sini hari ini.
Mohd Na'im berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan seorang ahli Parlimen yang menuduh pemimpin tertinggi negara terlibat dalam isu moral.
Mengulas lanjut sama ada ahli Parlimen terlibat boleh dikenakan hukuman qazaf (kesalahan jenayah syariah yang merujuk kepada tindakan menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi), Mohd Na'im berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa mahkamah, mengambil kira jika terdapat aduan mengenainya.
"Seperti hukuman lain, kesalahan lain, sama ada undang-undang sivil atau qazaf di Mahkamah Syariah, maka ia bermula dengan aduan, jika ada aduan dikemukakan oleh pihak tertentu misalnya tuntutan saman pihak kepada pihak lain atau ada laporan polis, di situ ada tindakan dalam konteks undang-undang sivil.
"Begitu juga dengan undang-undang Syariah, kalau ada aduan dikemukakan kepada penguat kuasa agama, maka siasatan boleh dijalankan, kemudian setelah mahkamah mendengar (hujah) Pendakwa Syarie dengar pembelaan tertuduh, barulah kemudian mahkamah buat keputusan sama ada kesalahan qazaf telah berlaku atau tidak," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya Mohd Na'im berkata, institusi keluarga wajar diberi perlindungan, diperkukuh, diperkaya dan diperkasakan dari semasa ke semasa demi mencapai kesejahteraan ummah yang pasti akan bermula dari sebuah keluarga iaitu unit sosial terkecil yang akan membentuk sesebuah ummah.
Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, julung kali diadakan sebagai platform rintis bagi perkongsian pandangan dan amalan terbaik pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Brunei, Singapura, Indonesia dan Malaysia dalam menangani dan mengurus isu-isu kekeluargaan khususnya dalam kalangan umat Islam ke arah mencapai kesejahteraan ummah.
Bertemakan 'Kesejahteraan Ummah Bermula Di Sini', seramai 300 peserta persidangan dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura yang terlibat secara langsung dalam bidang kekeluargaan Islam di pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!