Banjir kilat di Taiping, satu PPS dibuka babitkan 57 mangsa

PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dekat Taiping susulan banjir kilat. - Foto APM Taiping
PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dekat Taiping susulan banjir kilat. - Foto APM Taiping
A
A
A

IPOH - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dekat Taiping susulan banjir kilat yang berlaku di kawasan berkenaan akibat hujan berterusan selama dua jam pada Khamis.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, PPS itu dibuka pada 2.25 petang bagi menempatkan 57 mangsa daripada 18 keluarga.

Kesemua mangsa yang terjejas merupakan penduduk Kampung Simpang Halt melibatkan lapan kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan serta 20 lelaki dewasa dan 23 perempuan dewasa.

Menurut kenyataan itu lagi, kedalaman banjir adalah kurang 0.5 m, bagaimanapun air dilaporkan mulai surut.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan penutupan jalan di FT077 jalan Pengkalan Hulu-Sempadan Thailand Seksyen 5 di Hulu Perak akibat berlakunya runtuhan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan di kawasan terbabit.

JKR turut menutup jalan A 156 Jalan Karai-Jawang Trosor di Kuala Kangsar kepada semua laluan kenderaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: