Pelbagai aktiviti menarik di Festival Cinta Rasul
SHAH ALAM - Program Festival Cinta Rasul bukan sahaja memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi turut menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bagi mendekatkan masyarakat dengan masjid.
Program tersebut akan berlangsung pada 29 September hingga 1 Oktober 2023 di Masjid Ar Rahman Permatang Rambai Penaga, Pulau Pinang.
Pengarah Festival Cinta Rasul, Shuhaimi Abdul Rashid berkata, antara pengisian program adalah sukan kampung, qasidah, ceramah, forum dan tausiah maulid.
Menurutnya, terdapat juga pertandingan azan bagi kategori sekolah rendah dan menengah sekali gus membina generasi muda yang cintakan masjid.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Masjid turut mengulas, pengunjung boleh melakukan pemeriksaan kesihatan, menderma darah selain melihat beberapa demonstrasi keselamatan daripada pihak Jabatan Bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
“Pada hari tersebut juga pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut membuka kaunter perkhidmatan kepada pengunjung yang hadir.
“Aktiviti seperti pertandingan seperti gasing, mengukur kelapa, lari dalam guni dan mengayuh basikal tua memberi peluang kepada penduduk mengeratkan silaturahim,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu,Pengerusi Masjid dan penasihat program, Mohd Zaini Yahaya berkata, objektif utama adalah untuk mengajak orang ramai memperingati kelahiran dan perjuangan Rasulullah SAW serta menambah ilmu pengetahuan sedia ada.
“Festival seumpama ini dapat mengimarahkan masjid dan memberi peluang kepada masyarakat setempat khasnya pengunjung luar untuk menambah ilmu menerusi pelbagai program dan aktiviti berteraskan nilai Islam serta budaya Melayu.
“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan masjid sebagai pusat aktiviti yang berlandaskan syariat Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!