Apa perancangan jangka panjang pulih krisis beras?

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

MASALAH kekurangan beras tempatan di pasaran berpunca daripada kenaikan harga beras import selepas India larang eksport makanan itu, Julai lalu.

Tiga bulan selepas itu, kesannya mula dirasai apabila pengguna yang sebelum ini membeli beras import beralih kepada beras tempatan menyebabkan permintaannya meningkat dengan tinggi.

Masalah tidak terhenti setakat itu, cuaca tidak menentu dan penyakit padi sepanjang musim tuaian antara April sehingga Ogos, menjejaskan bekalan beras putih tempatan.

Inilah perkara yang sudah diperkatakan oleh pakar-pakar keselamatan makanan sejak sekian lama. Akhirnya, kebimbangan mereka benar-benar berlaku dan dibimbangi akan menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

Dalam kalangan rakyat pula, ada yang faham tetapi ada juga tidak mahu terima sebarang penjelasan diberikan kerajaan. Lantaran itu, beberapa langkah jangka pendek sedang dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut.

Namun, lebih penting dan utama ialah apakah langkah jangka panjang yang akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah kekurangan beras tempatan?

Tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan benih padi berkualiti tinggi dikenali IS22.

Ia bukan sahaja mampu bertahan sekiranya ditenggelami air ketika banjir, malah tidak memerlukan jumlah air yang banyak. Jadi, apakah perkembangan tentang kajian benih padi yang hebat ini?

Artikel Berkaitan:

Kita juga ingin bertanya tentang Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan. Apakah perkembangan tentang pelaksanaan projek itu di negeri yang ada sawah bendang.

Apakah yang menjadi cabaran dan hambatan kepada kerajaan untuk menjayakan program Smart SBB, yang difahamkan sebenarnya sudah ada sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri lagi.

Jadi, kita amat berharap agar perancangan jangka panjang itu sudah bermula demi untuk menjamin keselamatan makanan ruji rakyat Malaysia.

Rakyat masih boleh bertoleransi jika makanan lain berdepan masalah bekalan dan harga tetapi beras merupakan komoditi yang amat penting.

Bagi kepercayaan masyarakat terdahulu, lambat membeli beras atau tidak ada beras di dalam rumah boleh menyebabkan rezeki terputus.

Tetapi hendaklah diingat bahawa dalam Islam tidak ada kepercayaan sebegitu kerana hanya ALLAH yang menentukan rezeki seseorang dan kita dikehendaki untuk berusaha serta bertawakal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!