Malaysia syurga makanan, sebab itu ketagih makan luar

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

KENYATAAN dibuat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai tabiat rakyat di negara ini yang ketagih makan di luar mendapat reaksi negatif segelintir pihak.

Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, disebabkan perkara itu sebahagian besar pendapatan bulanan rakyat dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.

Tambahnya, akibat daripada amalan tidak sihat itu juga menyebabkan mereka mengalami penyusutan pendapatan dan sering berasakan tidak cukup wang.

Realitinya ramai dalam kalangan rakyat terutama yang sudah berkahwin terdiri daripada mereka yang bekerja dan adalah sukar menyediakan makanan dari rumah.

Golongan berkenaan sudah pasti tidak akan bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan Rafizi.

Namun, bagi segelintir orang, tabiat membawa bekal sebenarnya memang mampu untuk menjimatkan belanja harian.

Bayangkan jika dalam sehari seseorang memerlukan sebanyak RM20 untuk makanan sahaja dan jika didarabkan dengan 20 hari bekerja, peruntukan yang dikeluarkan ialah RM400.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan, jumlah tersebut memang sangat besar dan boleh digunakan untuk keperluan lain. Lagipun harga makanan di kedai makan juga tinggi berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa bagus ini, elok juga kalau kita mengamalkan pendekatan berjimat cermat.

Dan sebenarnya, ia juga satu cara untuk beri tekanan kepada peniaga supaya tidak menjual terlalu mahal dan ambil untung secara berlebihan.

Bagaimanapun, di satu sisi yang lain, Malaysia memang terkenal sebagai syurga makanan yang enak hingga dapat pujian pelancong asing.

Mungkin sebab itu tabiat ketagih makan luar ini sudah jadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita.

Bagi Merak Jalanan, sekali sekala makan luar bersama keluarga apa salahnya.

Kalau mampu tiada sebarang masalah tetapi kalau tidak mampu, tepuk dada dan tanya poket masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!