Banjir kilat di Iboi, penduduk pindah ke PPS
BALING - Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan berlakunya banjir kilat berikutan air sungai melimpah termasuk di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang sejak petang Khamis.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kemaskini pada jam 3 pagi Jumaat menunjukkan dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.
Menurutnya, setakat jam 8 pagi, kesemua 102 mangsa dari 33 keluarga telah ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar (91 mangsa dari 31 keluarga) dan Masjid Binjul Luar (11 mangsa dari dua keluarga).
"Hasil pemantauan APM di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa buah kampung di mana air sungai naik terlalu cepat dan mengakibatkan beberapa rumah telah dimasuki air," katanya.
Menurut Muhammad Suhaimi, keadaan cuaca dilaporkan mendung di sekitar Daerah Baling namun mengikut ramalan paras air sungai yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang Pulai menunjukkan melebihi paras bahaya sebanyak 36.19 meter setakat jam 8 malam Khamis.
"Semua mangsa banjir yang berada di PPS berada dalam keadaan selamat serta dipantau oleh agensi yang terlibat," katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai agar peka dengan keadaan sekeliling, jaga keselamatan anak-anak serta keluarga dan bersedia untuk berpindah jika berlaku kenaikan air.
Pasukan itu juga dilaporkan telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya cuaca bertambah buruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!