Burnley mahu tambah derita Manchester United
PENGENDALI Burnley, Vincent Kompany menegaskan tidak mengambil peduli krisis yang melanda Manchester United menjelang kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut ke Turf Moor pada Sabtu.
Sebaliknya Kompany mengakui The Clarets dalam mood bersiap sedia untuk mencipta kejutan ke atas angkatan Erik ten Hag tersebut.
The Reds Devils sebelum itu tewas 3-4 kepada Bayern Munich dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Khamis, meneruskan kemerosotan awal musim.
Sebagai rekod, skuad Ten Hag yang merupakan antara prospek mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City tewas tiga daripada lima perlawanan pembukaan liga sebelum ini.
Dengan isu luar padang juga semakin meningkat untuk Ten Hag, tekanan akan diberikan kepada United untuk memberikan keputusan positif di Turf Moor, bagi mengembalikan sokongan padu dalam kalangan para penyokong Red Devils tersebut.
Namun Kompany yang juga bekas kapten Manchester City lebih berminat menghadirkan keputusan positif di laman sendiri selepas kemarau kemenangan dalam empat perlawanan terakhir liga.
“Kami sedang menilai Manchester United dengan cara yang perlu berdasarkan kekuatan pasukan saya, melihat kekuatan dan kelemahan mereka.
"Saya pernah berada di kelab besar sebelum ini dan tahu keadaannya apabila anda tewas dalam beberapa perlawanan. Tekanan boleh meningkat tetapi bukan untuk saya bercakap mengenainya. Saya fokus terhadap persediaan dalam padang berdepan United," katanya.
Kompany, yang memuji kemampuan Ten Hag meletakkan kembali United di peta Liga Juara-Juara, juga sedang membina momentum positif selepas Clarets mengikat Nottingham Forest 1-1 di City Ground pada Isnin, mata pertama Burnley musim ini.
Selepas tiga kekalahan di tempat sendiri berturut-turut, kepada Manchester City, Aston Villa dan Tottenham, keputusan seri ke atas Forest disifatkan Kompany sebagai satu permulaan langkah ke hadapan yang baik.
"Saya sangat menantikan perlawanan ini untuk melihat sama ada kami telah membuat langkah ke hadapan selepas perlawanan di Nottingham Forest.
“Saya benar-benar percaya dengan ketajaman jentera serangan pasukan kami dari segi mampu mencipta sesuatu dan saya harap dapat diterjemahkan pada Sabtu,” katanya.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (23 SEPTEMBER)
Manchester City lwn Nottingham Forest, 10 malam
Crystal Palace lwn Fulham, 10 malam
Luton Town lwn Wolves, 10 malam
AHAD (24 SEPTEMBER)
Brentford lwn Everton, 12.30 tengah malam
Burnley lwn Manchester United, 3 pagi
Chelsea lwn Aston Villa, 9 malam
Arsenal lwn Tottenham Hotspur, 9 malam
Liverpool lwn West Ham United, 9 malam
Brighton lwn Bournemouth, 9 malam
Sheffield United lwn Newcastle United, 11.30 malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!