Setahun selepas langkah kontroversi Trump
BAITULMAQDIS - Hari ini genap setahun Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis yang mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa.
AS dengan angkuh tetap mengabaikan bantahan global dan tetap memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Kota Lama itu pada 14 Mei 2018 di bawah salah satu janji paling kontroversi Presiden Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel.
Status Baitulmaqdis terus menjadi pertikaian sejak pendudukan Israel pada 1948 apabila rejim Zionis mengambil kawalan ke atas sektor barat Kota Lama tersebut.
Dua hari selepas pemindahan itu dibuat, Guatemala dan Paraguay turut mengikut telunjuk AS.
Paraguay bagaimanapun mengubah pendiriannya selepas hampir empat bulan membuat keputusan itu.
Beberapa negara lain mengumumkan hasrat sama, namun hingga kini masih belum ada yang berani melakukan langkah itu.
Palestin menyifatkan perkembangan itu sebagai ‘tempoh terburuk’ yang merujuk kepada hubungan negara itu dengan AS.
Menurut Ahmed Majdalani yang merupakan penasihat kepada Presiden Mahmoud Abbas, inisiatif AS ke atas Baitulmaqdis telah memberi impak besar selepas pentadbiran Trump mengubah pendirian mereka daripada perantara separa kepada pihak yang mempertahankan pendudukan Israel.
Kandungan deal of the century terbongkar
Sejak Disember 2017, kepimpinan Palestin telah menggantung hubungan rasmi dengan kerajaan AS dan menolak rancangan menantu Trump, Jared Kushner yang mahu melaksanakan pelan damai digelar sebagai ‘deal of the century’ yang dijangka diumumkan pada bulan depan.
Kebanyakan media telah mula mendedahkan rancangan pentadbiran Presiden Donald Trump menerusi ‘deal of the century’ yang kononnya akan menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Kelmarin, stesen TV Israel, Channel 12 mendedahkan perjanjian tersebut akan meletakkan penempatan haram di Tebing Barat di bawah kawalan rejim Zionis untuk tempoh lima tahun.
Jelas laporan itu, Israel boleh melaksanakan undang-undang sivil ke atas kawasan itu dengan cara sama ia lakukan terhadap Bukit Golan pada 1981.
Sementara itu, bandar dihuni penduduk Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza dikatakan akan terus berada di bawah kawalan Palestin.
Hamas bagaimanapun perlu menyerahkan senjata mereka kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang akan terus bekerjasama dengan Israel dalam isu keselamatan.
Laporan itu didakwa sejajar dengan draf rancangan yang didedahkan Kementerian Hal Ehwal Luar Israel kepada akhbar Israel Hayom pada minggu lalu.
Akhbar itu melaporkan draf pelan itu menyebut sebuah negara ‘Palestin baharu’ bebas tentera akan diwujudkan.
Selain itu, kandungan pelan itu menyebut Baitulmaqdis akan dijadikan ‘ibu negara’ yang dikongsi dua negara iaitu Israel dan Palestin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!