Pengerusi Tottenham akui silap lantik Mourinho, Conte
PENGERUSI Tottenham Hotspur, Daniel Levy mengakui kelab London itu melakukan kesilapan apabila mengupah Jose Mourinho dan Antonio Conte untuk mengembalikan era kecemerlangan pasukan tersebut dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.
Sebaliknya, Levy menyifatkan kehadiran pengendali baharu Ange Postecoglou telah mengembalikan semula wajah sebenar Tottenham yang berdepan masalah prestasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Mac, Conte yang juga bekas pengendali Juventus menjadi pengurus kedua meninggalkan kelab utara London itu dalam tempoh lebih kurang tiga tahun selepas pemecatan Mourinho dua tahun lalu selepas pemain Portugal tersebut dibawa menggantikan ketua jurulatih berprofil tinggi, Mauricio Pochettino.
Levy sebelum itu dikritik hebat para penyokong Tottenham sejak beberapa musim lalu apabila penyokong Spurs menyalahkan pemilik berusia 61 tahun itu gagal mengakhiri kemarau kejuaraan kelab berkenaan tidak memenangi sebarang trofi sejak 2008.
"Saya mahu menang sama seperti orang lain...
"Kekecewaan kerana tidak menang dan tekanan dijelmakan beberapa pemain dan elemen paling besar iaitu para penyokong Tottenham yang mahukan kemenangan.
"Situasi ini menyaksikan kami perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi mempunyai pengurus bernama besardan ia memberi kesan kepada saya," kata Levy semasa forum bersama para penyokong kelab terbabit.
Sebagai rekod, Pochettino yang kini berbakti bersama Chelsea dipecat pada 2019 selepas lima bulan membawa Tottenham ke final Liga Juara-Juara.
"Ya, saya telah melalui tempoh di mana Tottenham hampir menang dengan Mauricio, Tottenham melalui beberapa musim yang sangat baik.
"Ya, kami tidak cukup sampai ke sana tetapi kami hampir sangat dekat, dan mempunyai perubahan strategi..
"Strateginya ialah kita perlu bawa masuk pengurus bermentaliti trofi dan kami melakukannya dua kali. Anda perlu belajar daripada kesilapan," kata Levy.
Bagaimanapun, Levy menegaskan kelab utara London itu mendapatkan semula wajah sebenar Tottenham dengan pelantikan Postecoglou, selepas berjaya menghilangkan kesuraman menyelubungi kelab dengan permulaan terbaik mereka untuk musim liga dalam tempoh 57 tahun.
Tottenham kini berada di tangga kedua dengan 13 mata dalam lima perlawanan, hanya dua mata di belakang pemenang treble Manchester City.
Tottenham melawat London bagi aksi berdepan Arsenal pada Ahad sebelum menerima kunjungan tempat ketiga Liverpool pada 30 September.
"Mereka (Mourinho dan Conte) pengurus yang hebat tetapi mungkin bukan untuk kelab ini.
"Untuk apa yang kami mahu, kami mahu bermain dengan cara tertentu dan jika itu bermakna ia perlu mengambil sedikit masa lagi untuk menang, mungkin ia adalah perkara yang betul. untuk kami...
"Itulah sebabnya saya membawa Ange masuk adalah, dari sudut pandangan saya, keputusan yang tepat," tambah Levy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!