DUN Pelangai pemulaan sekat 'gelombang hijau' di Pahang

Ahmad Maslan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada SMA Bugisiah Tampok Benut yang terlibat dalam kebakaran pada Jumaat.
Ahmad Maslan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada SMA Bugisiah Tampok Benut yang terlibat dalam kebakaran pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu menjadi permulaan menyekat 'gelombang hijau' Perikatan Nasional (PN) sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesepaduan jentera parti dan calon anak tempatan dilihat sebagai kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai.

"Pemilihan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yang merupakan anak tempatan dari Felda Chemomoi menjadi kelebihan untuk tarik hati pengundi kerana hampir separuh daripada pengundi merupakan peneroka Felda.

“Selain itu, jentera pilihanraya juga telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai gerak kerja yang perlu mereka lakukan bagi memastikan kerusi DUN Pelangai kekal ditangan UMNO dan BN," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Dewan Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Tampok, Benut yang terbakar Ahad lalu dan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada pihak sekolah terbait pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, pengundi di DUN Pelangai perlu membuat pilihan sama ada kawasan mereka kekal sebagai penyokong kerajaan atau pembangkang.

"Jika ingin kekal sebagai kawasan penyokong kerajaan, mereka perlu memilih calon daripada BN, namun sebaliknya jika mereka memilih calon lawan, DUN Pelangai akan menjadi kawasan pembangkang," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) telah menetapkan esok ( 23 September ) sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Oktober depan sebagai hari membuang undi.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Pelangai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

BN telah menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam sebagai calonnya manakala PN menampilkan Naib Ketua Pas Bentong, Kassim Samat.

Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15 ), Allahyarham Johari memperolehi majoriti undi 4,048 manakala Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan ( 2,031 undi ).

Mengenai kebakaran di Dewan SMK Bugisiah, pihaknya menyokong penuh permohonan yang dikemukakan oleh pihak sekolah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membina semula bangunan terbabit.

Selain itu, permohonan juga dibuat bagi membina semula blok bangunan yang tidak selamat untuk diduduki sebagaimana perakuan oleh Jabatan Kerja Raya ( JKR ) sebelum ini.

“Anggaran kos bagi kedua-dua bangunan sebanyak RM2 juta. Ketika ini pelajar-pelajar Tingkatan Enam menumpang sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Sinaran Tampok yang berada bersebelahan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!