Op HUU: Dua kenderaan disita, 6,831 saman dikeluarkan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan 6,831 saman kepada pesalah lalu lintas semasa Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain saman tindakan sitaan turut dikenakan berdasarkan kesalahan dilakukan terhadap pengguna jalan raya yang masih berdegil gagal patuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, dalam operasi yang dilaksanakan pada Khamis, sebuah kereta dan sebuah motosikal telah disita pihak polis.
"Polis turut menahan 14 individu yang melakukan kesalahan dalam Op HUU pada Khamis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sarifudin berkata, sebanyak 90 saman dikeluarkan kepada warga tempatan yang tidak mempunyai lesen memandu, sementara sembilan saman ke atas warga asing bagi kesalahan sama.
Menurutnya, masih ramai pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau di garisan putih dan sebanyak 283 saman dikeluarkan kerana kesalahan tersebut.
"Kesalahan melalukan halangan lalu lintas masih mencatat jumlah kesalahan paling banyak iaitu 5,470 saman dan diikuti dengan lain-lain kesalahan (909 saman).
Saman dikenakan ke atas pemilik sebuah kenderaan kerana berada di petak motosikal semasa Op HUU di sekitar ibu kota pada Khamis.
"Sebanyak 42 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat," ujarnya.
Tambahnya, lain-lain saman dikenakan adalah nombor pendaftaran kabur atau fancy (25 saman) dan berhenti di petak kuning (3 saman).
Selain itu katanya, sebanyak 22 operasi dilaksanakan pada Khamis termasuk tumpuan kepada kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!