Bukit Aman serbu kilang haram di Klang
KLANG - Sanggup tolak menolak antara satu sama lain dengan cuba memanjat pagar dan terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.
Bagaimanapun, cubaan segelintir pekerja asing itu berjaya dipatahkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi serbuan di sebuah kilang proses logam terpakai di Teluk Gong, di sini pada Khamis.
Op Bersepadu Pintas kira-kira jam 3.30 petang itu turut disertai Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi ini berjaya menahan 40 pekerja asing termasuk 10 wanita yang disyaki menyalahi Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, pecahan warga asing ini terdiri daripada 34 warga Myanmar, Kemboja (3), Nepal (2) dan seorang Bangladesh yang kesemuanya berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.
"Polis telah berjaya menyelamatkan empat mangsa bawah umur warga Myanmar termasuk seorang perempuan berusia 17 tahun disyaki dieksploitasi untuk bekerja di kilang terbabit.
"Susulan itu, polis bertindak menahan dua lelaki tempatan berperanan sebagai pengurus dan pembantu pengurus masing-masing berusia 21 dan 31 tahun untuk siasatan Seksyen 14 Akta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, pihak JTKSM akan membuat siasatan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Katanya lagi, siasatan awal mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai telah beroperasi kira-kira dua tahun.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!