RMK12: Perkukuh aspek fizikal, rohani untuk bina masyarakat Madani

Awang Sariyan
Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan seimbang antara aspek fizikal dan kerohanian perlu diperkukuh dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan pembinaan masyarakat Madani.

Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, hal berkenaan perlu dititikberatkan agar semua program dalam RMK12 tetap berteraskan falsafah pembangunan negara supaya dapat menolak kemungkaran yang merosakkan negara seperti rasuah, salah guna kuasa, ketiadaan integriti dan kerosakan lain.

“Pelaksanaan RMK12 hendaklah senantiasa dipertalikan dengan usaha mengatasi masalah berterusan atau ‘isu tertunggak’ yang sama ada gagal atau belum diatasi dalam RMK sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, RMK12 juga wajib memperhitungkan tanggungjawab itu, sebagai contoh jurang sosioekonomi antara kaum, wilayah dan kumpulan taraf sosial yang masih menjadi isu pokok di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12.

Jelas beliau, falsafah dan semangat Dasar Ekonomi Baharu masih perlu dijadikan asas dalam pelaksanaan RMK12 disebabkan pembasmian tanpa mengira kaum penting kerana kemiskinan bukan milik kaum tertentu.

Tambah Awang, penyusunan semula masyarakat berdasarkan kesejahteraan bersama yang menjadi salah satu kata kunci dalam Ekonomi Madani perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa RMK12 merupakan titik tolak yang menandai babak baharu perancangan pembangunan negara dalam dua konteks.

Artikel Berkaitan:

“Pertama, RMK12 dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan baharu yang diperhatikan dan dinilai oleh rakyat tentang janji dan tawaran pembangunan negara yang sewajarnya.

"Kedua, RMK12 berlangsung pelaksanaannya dalam era pasca Covid-19 yang pasti diwarnai oleh pelbagai tantangan atau cabaran dalam pelbagai aspek dan dengan demikian memerlukan perancangan yang rapi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!