Rafizi pertahan kenyataan rakyat ketagih makan luar
KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempertahankan kenyataannya sebelum ini mengenai rakyat Malaysia ketagih makan luar bukan sengaja direka-reka kerana ia berasaskan data yang direkodkan.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh hasil daripada data yang dikumpulkan dalam tempoh 20 tahun lalu
"Kerajaan mempunyai data lengkap yang dikumpul setiap dua tahun melalui tinjauan perbelanjaan isi rumah.
"Melalui data itu kita boleh lihat pendapatan yang digunakan untuk aktiviti makan di luar, sama ada dibawa pulang atau makan di restoran atau gerai, telah berkembang sejak beberapa tahun ini. Ini bukan berkenaan saya mereka-reka cerita tetapi ini adalah berdasarkan kepada data," katanya.
Isnin lalu, Rafizi dilaporkan berkata, tabiat ketagih untuk makan di luar membuatkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat di negara ini dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.
Menurutnya, akibat daripada amalan tidak sihat itu juga menyebabkan mereka mengalami penyusutan pendapatan dan menjadi lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dimasak, walaupun ketika inflasi utama telah menurun.
Kenyataan Rafizi itu mencetuskan kontroversi apabila segelintir pihak termasuk bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil mengkritik.
Khairy berkata, tindakan Rafizi yang menyentuh isu tabiat ketagihan rakyat makan di luar sehingga menjejaskan pendapatan bulanan mereka itu tidak sepatutnya dilakukan kerana perbuatan itu umpama menjolok ke sarang tebuan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara utama yang menyukarkan untuk menurukan inflasi adalah budaya makanan di luar rumah dan ia menjadi komponen utama dalam inflasi dari bulan ke bulan.
"Satu-satunya perkara perbelanjaan isi rumah yang paling anjal dan sukar untuk diturunkan sebenarnya adalah makanan yang dimasak dan dibawa pulang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!