Siasatan terhadap ahli Parlimen tafsir al-Quran diserah ke Bukit Aman
IPOH - Polis Perak mengesahkan menerima laporan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap video ucapan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How di media sosial pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini hanya satu laporan polis diterima berhubung perkara terbabit dan ia telah dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Bukit Aman memandangkan laporan asal dibuat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
"Sepertimana yang rakan-rakan media maklum bahawa dalam video yang berdurasi 6 minit 47 saat itu menunjukkan seseorang yang telah memberi penterjemahan ayat suci al-Quran, di mana ada yang merasakan bahawa tidak sesuai kita membuat posting yang begitu dan melibatkan sensitiviti masyarakat agama dan juga kaum.
"Sebab itu pihak polis akan jalankan siasatan dan kita akan pastikan siasatan secara telus. Kita juga dapatkan keterangan-keterangan daripada suspek dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.
Mohd Yusri berkata, segala siasatan kini dijalankan oleh pihak Bukit Aman dan sebarang tindakan lanjut sama ada memanggil ahli Parlimen berkenaan akan dirujuk kepada unit berkenaan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan sebuah NGO, Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee kerana didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap Howard Lee kerana dianggap menghina agama Islam.
Menurutnya, segala hal berkaitan tafsiran ayat-ayat suci al-Quran hendaklah disentuh atau ditafsir oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut apatah orang bukan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!