Hari Sukan Negara tetap dilaksana di negeri pembangkang - KBS
PUTRAJAYA - Hari Sukan Negara (HSN) tetap akan dilaksanakan di negeri pembangkang dan penyelarasannya dipengerusikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang diputuskan oleh kabinet kerajaan sebelum ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan memaklumkan, ia bertujuan bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran pelaksanaan melibatkan program serta aktiviti kerajaan persekutuan.
"Menteri Besar dan Exco Belia dan Sukan negeri turut dijemput bagi memeriahkan penganjuran program di peringkat negeri masing-masing," kata kementerian itu pada Jumaat.
Tambah KBS, HSN merupakan agenda nasional bagi membudaya dan merakyatkan sukan tanpa mengira fahaman politik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Pada Khamis, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Exco kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) dihalang menyertai atau bekerjasama dalam program membabitkan kerajaan persekutuan.
Sanusi berkata, larangan itu termasuk bagi Exco sukan di negeri pembangkang yang tidak akan lagi mempengerusikan Hari Sukan Negara peringkat negeri seperti sebelum ini.
Sebaliknya kata beliau, pelaksanaan program itu akan diserahkan kepada ICU JPM untuk melaksanakan program berkenaan di negeri pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!