Beberapa jalan di Terengganu ditutup sempena LTdL bermula Sabtu

Beberapa jalan di Terengganu akan ditutup sempena acara berbasikal bertaraf dunia Le Tour de Langkawi 2023 yang akan membuka tirai bermula di Kerteh, Kemaman sehingga ke Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu pada Sabtu ini. - Gambar hiasan
Beberapa jalan di Terengganu akan ditutup sempena acara berbasikal bertaraf dunia Le Tour de Langkawi 2023 yang akan membuka tirai bermula di Kerteh, Kemaman sehingga ke Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu pada Sabtu ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa jalan di Terengganu akan ditutup sempena acara berbasikal bertaraf dunia Le Tour de Langkawi 2023 yang akan membuka tirai bermula di Kerteh, Kemaman sehingga ke Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, penutupan jalan bagi acara peringkat pertama melibatkan jarak sejauh 187.4 km itu akan dilakukan secara berperingkat bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, antara laluan terlibat ialah Jalan Kuala Terengganu/Kuantan dari Kilometer (KM) 120 di hadapan Mesra Mall Kerteh hingga KM 102 sempadan Kerteh/Paka menghala ke Kuala Terengganu dengan jarak sejauh 18 km.

"Pengguna jalan raya boleh menggunakan beberapa laluan alternatif antaranya Bandar Cukai, Jalan Kuala Terengganu/Kuantan, Jalan Kemasik, Jalan Kampung Cabang, tol Kerteh dan LPT2 (Lebuh Raya Pantai Timur 2).

"Selain itu, terdapat juga laluan alternatif melibatkan Bandar Chukai-Tol Chukai - LPT2 serta jalan Jerangau - Jabor," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, beberapa jalan di daerah ini akan ditutup bermula jam 2.30 petang hingga 4 petang bagi acara peringkat pertama pada Sabtu.

Katanya, antara laluan terlibat ialah jalan Kuala Terengganu/Kuala Berang (laluan ke pusat bandar) bermula dari lampu isyarat Padang Midin, persimpangan Tok Ku, Jalan Sultan Mohamad, Jalan Tg Mizan - Jalan Tg Ampuan Bariah, hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, bulatan Teluk Ketapang, jalan Pantai Baru Teluk Ketapang, drawbridge, hadapan KTCC Mall, Jalan Sultan Zainal Abidin dan Shahbandar (penamat).

Beliau berkata, perlawanan peringkat kedua pada Ahad akan bermula di drawbridge bermula jam 9 hingga 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Antara jalan terlibat bermula di jambatan angkat, hadapan KTCC Mall, Jalan Sultan Zainal Abidin, bulatan Ladang, Jalan Sultan Mahmud, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Mohamad, persimpangan Tok Ku, Jalan Kampung Durian Burung, Jambatan Manir, Jalan Kampung Kubang Jela, bypass Pulau Sekati, Jalan Kampung Bukit Jong, Jalan Kuala Terengganu/Kelantan, persimpangan Felda Belara (menuju ke daerah Setiu).

"Terdapat dua jalan yang akan berlaku penutupan penuh iaitu jalan Sultan Zainal Abidin (hadapan Dataran Shahbandar) yang akan ditutup bermula jam 9 pagi hingga 7 malam ketika acara peringkat pertama pada Sabtu ini.

"Satu lagi jalan akan ditutup sepenuhnya pada sebelah pagi untuk acara peringkat kedua pada Ahad iaitu drawbridge (laluan keluar dan masuk) yang bermula jam 8.30 hingga 11 pagi," katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan boleh menggunakan laluan alternatif lain ke pusat bandar iaitu dari Marang/Chendering - Batu Buruk - Jalan Kamaruddin; dari Gong Badak/Kuala Nerus - Jambatan Sultan Mahmud - Bukit Besar - Jalan Air Jernih; dari Seberang Takir - Jalan Tengku Ampuan Bariah - Jambatan Sultan Mahmud - Bukit Besar - Jalan Air Jernih; dari Simpang Tok Ku - prkan Chabang Tiga - Jalan Hiliran.

"Bagi laluan alternatif ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pengguna boleh melalui Jalan Sultan Mahmud dari persimpangan Batu Buruk ke persimpangan HSNZ," katanya.

Petronas LTdL 2023 yang bermula di Kerteh, Terengganu pada 23 September ini dan berakhir di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 30 September.

LTdL 2023 yang berstatus ProSeries akan menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,278.1 km.

Seramai 132 pelumba mewakili 2 pasukan WorldTeam, pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan satu pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!